Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menyasarkan kadar langganan jalur lebar oleh isi rumah akan mencapai sehingga 75 peratus menjelang 2015. Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, sasaran tersebut mampu dicapai berdasarkan perkembangan terkini yang menunjukkan sasaran 60 peratus kadar langganannya pada tahun ini telah pun berjaya dicapai. “Setakat ini, Malaysia mempunyai 17.5 juta pengguna Internet dan daripada jumlah itu, lima juta adalah pengguna jalur lebar, 2.5 juta adalah pengguna jalur lebar tanpa wayar dan 10 juta pelanggan 3G,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Puncak Semangat Rancang Pelaksanaan Seluruh Negara Bagi Teknologi Generasi Baru Evolusi Jangka Panjang (LTE) di sini, hari ini. Turut hadir, Pengerusi Puncak Semangat Sdn. Bhd. (PSSB), Tan Sri Syed Anwar Jamallulail dan Pengarah Urusan PSSB, Datuk Abdullah Kadir Bacha. Rais memberitahu, di Johor sahaja, kadar langganan jalur lebar mencapai 57.7 peratus dan dijangka terus meningkat dalam masa terdekat. Sementara itu, beliau menggalakkan penggiat industri kandungan kreatif supaya meningkatkan produktiviti kerana bidang tersebut dijangka berkembang dengan lebih pesat pada kadar 20 peratus tahun ini. “Kerajaan melihat potensi besar bagi industri ini yang bernilai RM9.8 bilion pada 2010, nilai eksport industri ini pada tahun itu sahaja ialah RM114.48 juta,” katanya. Antara yang berpotensi besar dalam industri itu adalah bidang animasi, komik interaktif, kesan-kesan khas untuk filem, kandungan digital dan aplikasi bagi telefon bimbit. Menurutnya, banyak kisah setempat, ragam budaya dan amalan tradisi termasuk keunikan di Sabah dan Sarawak yang boleh dijadikan bahan untuk kandungan industri itu.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.